Bersyukur dilantik jadi Ketua Kaum

UNTUK MU… Mohd. Ashree Wee menyampaikan cenderamata kepada Datuk Francis Harden Hollis sambil disaksikan tetamu khas Program Pembangunan Kapasiti KMKK Daerah Sri Aman dan Penyerahan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak bagi DUN Simanggang di Simanggang pada Selasa lepas.

SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingat supaya mengamalkan sikap bersyukur dan mengenang budi sekiranya berjaya dilantik memegang jawatan itu yang sebelum ini menjadi rebutan di kawasan mereka.

Ramai individu berjuang untuk merebut jawatan itu sehingga menjurus kepada berlaku perpecahan dalam kalangan penduduk terutama di kawasan kaum Iban, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.

“Lebih dikesali apabila terdapat segelintir individu ini menunjukkan tanda protes dengan menyertai pembangkang kerana gagal mencapai niat untuk menjadi KMKK.

“Tindakan golongan berkenaan boleh diumpamakan sebagai menjarakkan diri daripada peluang sedia ada kerana tidak mempunyai kesabaran dan tiada pendekatan musyawarah bersama pemimpin yang berkuasa di kawasan mereka sendiri,” kata beliau.

Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan Kapasiti KMKK Daerah Sri Aman dan Penyerahan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak bagi DUN N32 Simanggang di sini pada Selasa lepas.

Pada majlis itu, beliau turut memaklumkan bidang kuasa KMKK tidak boleh diwujudkan sesuka hati kerana ia melibatkan peruntukan kewangan dan syarat yang perlu dipenuhi.

“Ingin saya tegaskan di sini individu yang berminat untuk menjawat KMKK perlu memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Lagi pun jika sudah menjawat KMKK adalah penting bagi mereka untuk membantu kita menyebar dasar pembangunan Kerajaan Sarawak kepada penduduk bagi memakmurkan lagi proses pembangunan negeri ini,” kata beliau.

Seramai 117 KMKK dari kalangan kaum Iban, Cina dan Melayu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menyertai program berkenaan di salah sebuah hotel tempatan di sini.

Sijil Perlanjutan Pelantikan Tuai Rumah, Ketua Kaum dan Kapitan turut diadakan pada program berkenaan sambil disusuli dengan penyerahan format Key Performance Indicator (KPI) KMKK sebagai platform menilai kompetensi setiap pemimpin akar umbi itu.

Antara tujuan pelaksanaan program berkenaan adalah bagi mendedahkan fungsi dan peranan yang perlu dimainkan oleh KMKK sebagai jentera kerajaan di peringkat akar umbi.

Hadir sama Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Pengarah Yayasan Sarawak, Azmin Bujang dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Kwang Law.

Oleh Valentine Ngumbang