Kompaun RM1,000 mungkin rendah

PUTRAJAYA: Kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin rendah sehingga masih ada yang ingkar perintah itu, kata  Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru beliau berkata, kerajaan mungkin akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara jika perlu untuk menaikkan lagi denda, kompaun atau tempoh penjara yang boleh dikenakan.

“Saya tidak tahu mengapa masih ramai ingkar PKP, tidak pasti …kemungkinan juga kompaun RM1,000 itu terlalu rendah.

“Kalau kita lihat di luar negara, di Singapura misalnya mulai 17 April ini, hukuman pesalah pertama (PKP di Singapura) adalah 10,000 dolar Singapura, manakala kesalahan kedua 20,000 dolar Singapura,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP, di sini semalam.

Mereka yang ingkar PKP didakwa mengikut Peraturan 6 dan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan  Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, sekiranya denda seperti kompaun dan hukuman penjara terhadap mereka yang ingkar PKP ditambah, diharap ia dapat memastikan rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Ismail Sabri berkata, setakat Khamis lepas polis telah menahan sebanyak 666 individu kerana melanggar arahan PKP dan daripada jumlah itu 392 individu dikenakan kompaun RM1,000, 263 individu direman dan 11 individu dijamin polis.

Beliau berkata, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga Khamis lepas  adalah sebanyak 7,479 individu.

“Seperti diumumkan semalam, anggota Jabatan Pengangkutan  Jalan (JPJ) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan sekatan jalan raya. 

“Hasil daripada kerjasama baharu  bersama dengan JPJ, sekatan jalan raya akan ditambah  lagi dan PDRM boleh menambah rondaan, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, Khamis lepas PDRM bersama ATM telah mengadakan 775 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan terhadap 508,605 kenderaan.

Pada masa sama beliau berkata, sebanyak 38,854 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan 5,538 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata sejak 30 Mac sehingga kini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 1,125 operasi sanitasi di 83 zon  termasuk 24 Zon Merah dan 15 Zon Jingga.

“Semalam, sebanyak 171 operasi sanitasi meliputi 51 zon di 12 negeri, termasuk 43 kawasan di Johor dan 39 kawasan di Kuala Lumpur.

“Kawasan yang turut dinyahcemar, turut meliputi 773 bangunan kerajaan, 496 tempat awam, 422 pusat perniagaan dan 100 pasar raya,” katanya.

Beliau berkata, Khamis lepas sebanyak  empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dijalankan proses nyahcemar, menjadikan jumlah  keseluruhan 34 PPR telah selesai disanitasi melibatkan  34,295 unit rumah. – BERNAMA