Pastikan nyahkuman digunakan berlesen, berteknik

KUCHING: Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng menyeru syarikat-syarikat swasta supaya memastikan perkhidmatan nyahkuman yang digunakan oleh mereka mempunyai lesen sahih dan teknik tahu-pakai.

Wee yang mengawasi tempoh nyah kuman di Pasar Stutong kelmarin berkata beliau ternampak di media sosial yang terdapat banyak syarikat-syarikat khidmat nyah kuman baru disebabkan oleh Covid 19.

Bercakap kepada pemberita, Wee berkata banyak syarikat-syarikat baru ini memberi diskaun tetapi apa yang penting, menurut beliau adalah syarikat-syarikat ini perlu emmpunyai kemahiran di dalam bidang ini kerana kesilapan di dalam kandungan bahan pembasmian mungkin akan memudaratkan kesihatan kepada mereka yang terlibat.

“Ini mungkin bukan masa untuk meraih keuntungan. Mereka ini harus mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada serta mempunyai pekerja-pekerja yang bertauliah atau berkemahiran untuk memberi perkhidmatan ini. Untuk mereka yang hanya ingin meraih keuntungan, saya harap mereka perlu berfikir sama ada mereka benar-benar mempunyai kriteria ataupun kemampuan ini,” ulas Wee.

Khemah nyah kuman di Pasar Stutong adalah projek perintis. Wee berkata sesetengah orang mengelak dari mengujungi khemah tersebut untuk dinyah kuman. Beliau berkata kerajaan boleh mengambil pelbagai usaha tetapi sekiranya orang ramai tidak bekerjasama di dalam usaha ini, maka ia tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.

Suhu badan akan diambil oleh kakitangan MBKS di khemah tersebut setiap hari, kata Wee.

“Ia adalah satu pengorbanan besar dari barisan hadapan ini untuk mengekang perebakan virus Covid 19. Orang ramai hanya perlu mematuhi langkah-langkah yang telah ditetapkan untuk kita mengekang wabak ini,” ujar Wee.