Kerajaan bantu komuniti perniagaan PKS

CHERYL LAW

KUCHING: Komuniti perniagaan akan mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kewangan dari kerajaan untuk membantu perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengatasi kesulitan dan cabaran yang dijangkakan dari kemerosotan ekonomi setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak Jonathan Chai Voon Tok.

Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0)

Menurut Jonathan, Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0) bernilai RM1.1 bilion untuk meringankan beban Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perusahaan mikro, penjaja dan peniaga kecil ketika penularan Covid-19 seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan meningkatkan keyakinan pengusaha perniagaan untuk menghadapi cabaran sukar pada masa hadapan.

 “Sesungguhnya, kami berterima kasih kepada kerajaan Sarawak dalam mengakui bahawa PKS adalah pemacu utama ekonomi Sarawak, yang membentuk lebih daripada 75 peratus daripada sektor perniagaan kita, menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dan menyediakan kira-kira 600,000 pekerjaan untuk rakyat Sarawak,” kata beliau.

Empat Langkah Tambahan di bawah BKSS 2.0

Jonathan  memberitahu, Pakej bantuan kedua terdiri daripada empat langkah, termasuk Pinjaman Mudah Tanpa Faedah kepada PKS, pemberian Geran Khas Berjumlah RM1,500 kepada Penjaja Dan Peniaga Kecil, dan Pengecualian Sewa kepada PKS dalam Sektor Operasi Runcit di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri boleh dilihat sebagai lapisan gula pada kek selain bantuan dan langkah yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

 Pinjaman mudah tanpa faedah kepada PKS

“Bagaimanapun, kita perlu mendapatkan lebih banyak maklumat tentang pinjaman mudah tanpa faedah yang disediakan kepada PKS negeri dengan kerjasama Maybank, Hong Leong Bank dan RHB Bank kerana terdapat laporan yang bertentangan di media dimana salah satu melaporkan bahawa ia akan mengikat dengan dana bantuan khas Bank Negara, dengan kerajaan negeri menyerap kos faedah selama 42 bulan sedangkan ada yang melaporkan bahawa ia akan menjadi aplikasi bebas untuk kemudahan setara dengan gaji pekerja 6 bulan untuk membiayai pembayaran gaji pekerja daripada PKS yang berkenaan,” tambahnya.