Pakan akan jadi bandar baharu

DISAMBUT MESRA … Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tiba pada Majlis Perasmian Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan (Fasa 2), semalam.

PAKAN: Dua tumpuan utama Kerajaan Sarawak untuk pembangunan di Pakan akan dijalankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam RMK-12, penyusunan semula pekan Pakan akan dijalankan dan kerja penyambungan fasa 3 Jalan Pakan turut dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kawasan pekan Pakan akan dibangunkan dengan lingkungan 10 kilometer (km) dari pusat pekan sebagai sebuah pusat urbanisasi pekan luar bandar yang terancang.

“Kita bangunkan Pakan termasuklah kawasan perumahan, kedai-kedai dan juga tempat riadah.

“Jadi Pakan akan menjadi sebuah bandar baharu. Saya telah minta Jabatan Tanah dan Survei dari unit perancangannya untuk membuat pelan induk yang akan dibangunkan dalam RMK-12,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan (Fasa 2), di sini semalam.

Sementara itu, disidang media selepas majlis perasmian, Abang Jo berkata, lawatan beliau ke Pakan untuk melihat pembangunan yang sedang berlaku di Pakan.

“Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan (Fasa 2) sudah tentu membuka kawasan ini sebagai kawasan yang berpotensi dalam sudut pertanian dan juga ada tempat-temlat yang boleh menarik pelancong ke kawasan ini.

“Kita telah memutuskan untuk menyambungkan jalan ini ke fasa 3. Bagi fasa 3, jalan ini akan menghubungkan Pakan dengan dengan Bukit Sadok dan Betong,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan capaian internet rendah di kawasan Pakan, Abang Jo berkata, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan secara proaktif bagi mengatasi masalah tersebut.

Setakat ini, Kerajaan Sarawak telah membangunkan sebanyak 170 menara komunikasi di seluruh Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“Perkhidmatan internet di luar bandar dijangka akan disediakan oleh SMA sebaik sahaja mendapat lesen penyedia perkhidmatan internet (ISP).

“Menerusi perkhidmatan SMA, kadar bayaran internet yang dikenakan adalah lebih murah kerana disubsidi kerajaan,” katanya lagi.

Turut hadir Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N47 Pakan, Tan Sri William Mawan, ADUN N45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.

Oleh Earl Anek